Kamal masih ingat betapa
bangganya dia apabila melangkah masuk ke Wisma Bandar Raya pada hari
pertamanya. Menjadi sebahagian daripada Syarikat Megah Gemilang, sebuah nama
gergasi dalam dunia korporat terasa seperti satu keajaiban bagi seorang
siswazah muda sepertinya. Meja kerjanya di tingkat 18 yang menghadap
pemandangan ibu kota seolah-olah mengesahkan bahawa dia berada di tempat yang
betul. Dia berasa sangat bertuah.
Namun, warna-warni kemeja
yang digosok licin dan bau kopi mahal di kafe pejabat mula memudar selepas enam
bulan. Kamal mula nampak apa yang tersembunyi di balik jenama gah itu.
"Kamal, file
perancangan projek Q3 tu hang bagi kat aku dulu sebelum jumpa bos,
ya?"
Itu suara Abang Saiful.
Seorang pekerja senior yang sudah hampir sedekad berkhidmat di situ. Tahu
selok-belok syarikat, kenal selera pihak atasan, dan amat mahir memilih masa
untuk kelihatan sibuk.
Abang Saiful memang
terkenal sebagai seorang yang sangat pandai merapatkan diri dengan orang
atasan. Setiap kali ada pengurusan tertinggi lalu di koridor, dialah yang
paling awal menyapa dengan senyuman lebar, membawa kopi, atau membisikkan
usikan mesra yang membuatkan bos ketawa. Di mata pengurusan, Abang Saiful ialah
pekerja dedikasi dan mesra. Namun di sebalik kebolehannya bermulut manis itu,
Abang Saiful adalah seorang pemangsa korporat yang sentiasa mencari kesempatan.
Pada mulanya, Kamal
menganggap pelawaan Abang Saiful untuk "membimbingnya" sebagai satu
peluang emas. Tetapi lama-kelamaan, topeng ramah itu mula melorot.
"Kamal, aku kena
keluar jumpa klien ni. Hang tolong settlekan laporan analisis ni, nanti
bos minta sebelum pukul 5. Hang dah faham sistem kita, kan? Benda kecil je
ni," kata Abang Saiful pada suatu tengah hari, sebelum dia melangkah
keluar dengan cermin mata hitam tergantung di kolar kemeja.
Kamal tahu "jumpa
klien" itu selalunya bermaksud dua jam di kelab golf atau kedai kopi di
seberang jalan.
Laporan analisis itu bukan
kerja kecil. Ia mengambil masa berjam-jam, menuntut Kamal meneliti ribuan angka
hingga matanya pedih. Malah, tugasan asal Kamal sendiri terpaksa ditangguhkan
hingga dia terpaksa pulang lewat malam.
Yang lebih pahit untuk
ditelan, semasa mesyuarat pengurusan seminggu kemudian, Abang Saiful dengan
santai membentangkan laporan tersebut. Dengan gaya penuh keyakinan dan bahasa
tubuh yang sudah biasa memikat perhatian pihak atasan, dia mengambil seluruh kredit
itu.
"Saya dah selesaikan
analisis ni seperti yang bos minta minggu lepas. Saya pastikan semua sudut
teratur," kata Abang Saiful sambil tersenyum mesra ke arah Pengarah
Urusan. Bos mengangguk puas dan memuji kepimpinan serta kelajuan kerja Abang
Saiful. Kamal yang duduk di hujung meja hanya mampu menelan liur. Namanya
lansung tidak dipetik. Abang Saiful dengan licik menggunakan usaha keras Kamal
untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di mata orang atasan.
Lama-kelamaan, corak itu
semakin jelas. Abang Saiful tidak lagi memimpin, dia cuma mengambil kesempatan
dan memindahkan beban. Setiap kali ada tugasan rumit atau berisiko, Abang
Saiful akan menyerahkan tugasan itu kepada Kamal dengan alasan "peluang
pendedahan untuk pekerja muda". Tetapi sebaik sahaja hasil kerja itu siap
dan dipuji, Abang Saiful yang berdiri di depan pentas menangguk nama.
Satu petang, ketika Kamal
mengemas fail di mejanya pada pukul 8 malam, jam dinding berdetik sunyi. Dia
memandang sekeliling pejabat yang kini kosong. Di sudut meja Abang Saiful,
cawan kopi yang ditinggalkan pagi tadi sudah dingin.
Kamal menghela nafas
panjang sambil menyandarkan badannya ke kerusi. Pandangannya merenung kosong
skrin komputer yang semakin malap. Dia mula merenung nasib dirinya di syarikat
ini. Sebuah tempat yang pernah dia agung-agungkan, tetapi kini terasa seperti
perangkap yang mengikis semangatnya. Dia terfikir tentang masa hadapannya;
sampai bila dia harus bertahan dalam persekitaran begini? Adakah kerjayanya di
sini akan terus malap di bawah bayang-bayang orang lain, atau dia perlu mencari
jalan keluar demi hala tuju hidupnya sendiri? Masa hadapannya terasa makin
samar, dibalut ketidakpastian yang menekan jiwa.
No comments:
Post a Comment