Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, 7 August 2026

Bayang-Bayang di Balik Gah (Episod Akhir)

 Episod 1


Kelihatan pantulan wajahnya sendiri pada kaca tingkap yang gelap. Di luar, lampu-lampu pencakar langit Kuala Lumpur berkerlipan seperti permata, tetapi di dalam hatinya, tiada sedikit pun rasa berseri. Namun, Kamal menyedari dia tidak boleh terlalu lama melayan rasa tumpas ini. Ada tanggungjawab berat yang perlu dipikul di atas bahunya. Dia harus kekal kuat demi kelangsungan hidup dan menafkahi keluarganya yang bergantung penuh padanya. Kamal sedar, mendiamkan diri bukan lagi satu sifat rendah diri tapi ia adalah penyerahan kalah.

 

Malam itu, Kamal membuat keputusan. Kalau dia mahu terus bertapak di dunia korporat dan memastikan dapur rumahnya terus berasap, dia tidak boleh sekadar menjadi kuda tunggangan. Dia perlu bermain permainan yang sama, tetapi dengan peraturan yang baharu.

 

Perangkap di Sebalik Peluang

 

Peluang itu datang lebih cepat daripada yang dijangkakan. Seminggu kemudian, syarikat mendapat jemputan mengejut untuk membentangkan cadangan projek penstrukturan semula aset syarikat dimana ia merupakan sebuah projek bernilai jutaan ringgit yang menjadi perhatian Lembaga Pengarah.

 

Seperti biasa, Abang Saiful masuk ke kubikel Kamal dengan senyuman meleret.

 

"Kamal, bos nak deck pembentangan ni siap Isnin depan. Hang buat rangka asas dan kumpul data teknikal dulu, ya? Aku ada mesyuarat luar dengan lembaga pengarah anak syarikat minggu ni. Nanti aku semak sebelum kita jumpa Pengarah Urusan," kata Abang Saiful sambil menepuk-nepuk bahu Kamal. Isyarat biasa untuk memindahkan beban.

 

Kamal cuma mengangguk perlahan. "Baik, Abang Saiful. Saya buat."

 

Namun kali ini, ada sesuatu yang berbeza dalam mata Kamal. Di balik wajah akurnya, mindanya sudah mula merangka pelan.

 

Selama empat hari berturut-turut, Kamal bekerja tanpa henti. Dia tidak hanya menyiapkan slaid pembentangan biasa, dia menyusun dokumen strategi setebal 50 muka surat yang mengandungi model kewangan kompleks, analisis risiko, dan unjuran pertumbuhan tiga tahun.

 

Tetapi Kamal melakukan satu tindakan bijak. Dia menyembunyikan kunci jawapan kepada model kewangan itu. Slaid pembentangan sengaja dirangka secara strategik. Ia kelihatan serba lengkap di permukaan, tetapi memerlukan pemahaman formula kewangan yang mendalam untuk menjawab soalan kritikal yang pasti akan ditanya oleh Pengarah Urusan.

 

Hari Penentuan

 

Isnin pagi, bilik mesyuarat utama di tingkat 20 dipenuhi aura tegang. Pengarah Urusan, Datuk Mukhriz, terkenal sebagai seorang yang tegas, berpandangan jauh, dan pantas mengesan kelemahan dalam sesuatu cadangan.

 

Abang Saiful berdiri di hadapan skrin gergasi, berkemeja putih bergosok rapi dengan tali leher sutera. Dengan gaya mesyuarat yang menyakinkan, dia memulakan pembentangan.

 

"Datuk, ini ialah pelan penstrukturan yang telah saya rangkakan secara terperinci untuk memastikan syarikat kita terus mendahului pasaran," kata Abang Saiful dengan suara lantang dan penuh keyakinan.

 

Kamal duduk diam di penjuru meja, memegang tablet di tangannya. Namanya sekali lagi tidak dipetik sebagai penyedia slaid tersebut. Abang Saiful lancar membaca bait-bait ayat di skrin dengan ayat yang sebenarnya ditulis oleh Kamal sehingga lewat malam.

 

Semuanya berjalan lancar sehinggalah Datuk Mukhriz menghentikan slaid ke-12.

 

"Bagus, Saiful," sampuk Datuk Mukhriz sambil menyandar ke kerusi dan meneliti dokumen di tangannya. "Tapi aku musykil dengan unjuran aliran tunai pada suku ketiga tahun kedua. Kamu guna nisbah kecekapan yang agak agresif di sini. Boleh jelaskan bagaimana kamu imbangkan risiko kadar faedah jika pasaran turun lima peratus?"

 

Suasana bilik mesyuarat serta-merta menjadi hening.

 

Senyuman di wajah Abang Saiful terhenti seketika. Dahinya mula berpeluh tipis. Dia memandang slaid pada skrin, mencari-cari angka yang boleh dijadikan jawapan. Dia cuba berputar helah dengan ayat-ayat umum.

 

"Er... Datuk, seperti yang kita tahu, pasaran fleksibel. Jadi kita akan sesuaikan operasi dari semasa ke semasa mengikut keadaan kewangan semasa..."

 

"Aku tak nak jawapan teori, Saiful," potong Datuk Mukhriz, nada suaranya tegas. "Aku nak tahu formula dan data spesifik yang kamu guna untuk justificasikan angka RM4.2 juta di perenggan ini. Kamu yang buat analisis ni, kan?"

 

Abang Saiful mula tergagap. Lidahnya kelu. Dia cuba mengerling ke arah Kamal, matanya memberi isyarat kecemasan yang memohon pertolongan.

 

Keluar dari Bayang-Bayang

 

Inilah saatnya. Kamal menarik nafas dalam-dalam, mengumpul segenap keberanian yang ada, lalu mengangkat tangan dengan tenang.

 

"Minta izin, Datuk," suara Kamal memecah kesunyian. "Boleh saya perincikan soalan berkenaan?"

 

Datuk Mukhriz memandang Kamal, kemudian memandang Saiful yang kelihatan serba salah.

 

"Kamu siapa?"

 

"Saya Kamal, pegawai analisis di bawah unit ini. Saya yang membangunkan model kewangan dan unjuran data untuk projek ini," kata Kamal tanpa sedikit pun rasa ragu.

 

Dengan penuh keyakinan, Kamal berdiri dan berjalan ke hadapan. Tanpa memegang nota, dia menerangkan secara terperinci setiap formula, andaian risiko, dan senario kontingensi yang telah disuntik ke dalam analisis tersebut. Jawapannya tuntas, berfakta, dan tidak mampu dipertikaikan.

 

Datuk Mukhriz mengangguk-angguk kecil, matanya menunjukkan kepuasan yang jarang-jarang dapat dilihat.

 

"Penjelasan yang sangat padat dan tepat, Kamal," kata Datuk Mukhriz sambil memandang tajam ke arah Abang Saiful yang sudah kehilangan kata-kata. "Nampaknya orang yang benar-benar faham projek ini duduk di hujung meja, bukannya di hadapan skrin."

 

Sinar Baharu

 

Selepas mesyuarat tamat, khabar angin tentang kejadian di bilik mesyuarat tersebar pantas ke seluruh Wisma Bandar Raya. Topeng kehebatan Abang Saiful akhirnya retak di hadapan pengurusan tertinggi.

 

Petang itu, Kamal menerima satu e-mel rasmi daripada Pejabat Pengarah Urusan. Dia diminta hadir ke bilik Datuk Mukhriz pada keesokan harinya untuk membincangkan penyerahan tugas sebagai Ketua Projek bagi penstrukturan baharu itu dan secara langsung, tanpa perlu melalui Abang Saiful.

 

Kamal berdiri di tepi tingkap tingkat 18 sekali lagi. Pemandangan ibu kota di luarnya masih sama, tetapi perasaan di dalam dadanya sudah jauh berbeza.

 

Dia sedar, bayang-bayang di balik gergasi korporat memang wujud dan akan sentiasa ada. Namun kini dia tahu, cara untuk keluar daripada bayang-bayang itu bukanlah dengan melarikan diri, tetapi dengan membawa cahayanya sendiri.

 

Tamat..


Friday, 31 July 2026

Bayang-Bayang di Balik Gah

 

Kamal masih ingat betapa bangganya dia apabila melangkah masuk ke Wisma Bandar Raya pada hari pertamanya. Menjadi sebahagian daripada Syarikat Megah Gemilang, sebuah nama gergasi dalam dunia korporat terasa seperti satu keajaiban bagi seorang siswazah muda sepertinya. Meja kerjanya di tingkat 18 yang menghadap pemandangan ibu kota seolah-olah mengesahkan bahawa dia berada di tempat yang betul. Dia berasa sangat bertuah.

 

Namun, warna-warni kemeja yang digosok licin dan bau kopi mahal di kafe pejabat mula memudar selepas enam bulan. Kamal mula nampak apa yang tersembunyi di balik jenama gah itu.

 

"Kamal, file perancangan projek Q3 tu hang bagi kat aku dulu sebelum jumpa bos, ya?"

 

Itu suara Abang Saiful. Seorang pekerja senior yang sudah hampir sedekad berkhidmat di situ. Tahu selok-belok syarikat, kenal selera pihak atasan, dan amat mahir memilih masa untuk kelihatan sibuk.

 

Abang Saiful memang terkenal sebagai seorang yang sangat pandai merapatkan diri dengan orang atasan. Setiap kali ada pengurusan tertinggi lalu di koridor, dialah yang paling awal menyapa dengan senyuman lebar, membawa kopi, atau membisikkan usikan mesra yang membuatkan bos ketawa. Di mata pengurusan, Abang Saiful ialah pekerja dedikasi dan mesra. Namun di sebalik kebolehannya bermulut manis itu, Abang Saiful adalah seorang pemangsa korporat yang sentiasa mencari kesempatan.


Pada mulanya, Kamal menganggap pelawaan Abang Saiful untuk "membimbingnya" sebagai satu peluang emas. Tetapi lama-kelamaan, topeng ramah itu mula melorot.

 

"Kamal, aku kena keluar jumpa klien ni. Hang tolong settlekan laporan analisis ni, nanti bos minta sebelum pukul 5. Hang dah faham sistem kita, kan? Benda kecil je ni," kata Abang Saiful pada suatu tengah hari, sebelum dia melangkah keluar dengan cermin mata hitam tergantung di kolar kemeja.

 

Kamal tahu "jumpa klien" itu selalunya bermaksud dua jam di kelab golf atau kedai kopi di seberang jalan.

 

Laporan analisis itu bukan kerja kecil. Ia mengambil masa berjam-jam, menuntut Kamal meneliti ribuan angka hingga matanya pedih. Malah, tugasan asal Kamal sendiri terpaksa ditangguhkan hingga dia terpaksa pulang lewat malam.

 

Yang lebih pahit untuk ditelan, semasa mesyuarat pengurusan seminggu kemudian, Abang Saiful dengan santai membentangkan laporan tersebut. Dengan gaya penuh keyakinan dan bahasa tubuh yang sudah biasa memikat perhatian pihak atasan, dia mengambil seluruh kredit itu.

 

"Saya dah selesaikan analisis ni seperti yang bos minta minggu lepas. Saya pastikan semua sudut teratur," kata Abang Saiful sambil tersenyum mesra ke arah Pengarah Urusan. Bos mengangguk puas dan memuji kepimpinan serta kelajuan kerja Abang Saiful. Kamal yang duduk di hujung meja hanya mampu menelan liur. Namanya lansung tidak dipetik. Abang Saiful dengan licik menggunakan usaha keras Kamal untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di mata orang atasan.

 

Lama-kelamaan, corak itu semakin jelas. Abang Saiful tidak lagi memimpin, dia cuma mengambil kesempatan dan memindahkan beban. Setiap kali ada tugasan rumit atau berisiko, Abang Saiful akan menyerahkan tugasan itu kepada Kamal dengan alasan "peluang pendedahan untuk pekerja muda". Tetapi sebaik sahaja hasil kerja itu siap dan dipuji, Abang Saiful yang berdiri di depan pentas menangguk nama.

 

Satu petang, ketika Kamal mengemas fail di mejanya pada pukul 8 malam, jam dinding berdetik sunyi. Dia memandang sekeliling pejabat yang kini kosong. Di sudut meja Abang Saiful, cawan kopi yang ditinggalkan pagi tadi sudah dingin.

 

Kamal menghela nafas panjang sambil menyandarkan badannya ke kerusi. Pandangannya merenung kosong skrin komputer yang semakin malap. Dia mula merenung nasib dirinya di syarikat ini. Sebuah tempat yang pernah dia agung-agungkan, tetapi kini terasa seperti perangkap yang mengikis semangatnya. Dia terfikir tentang masa hadapannya; sampai bila dia harus bertahan dalam persekitaran begini? Adakah kerjayanya di sini akan terus malap di bawah bayang-bayang orang lain, atau dia perlu mencari jalan keluar demi hala tuju hidupnya sendiri? Masa hadapannya terasa makin samar, dibalut ketidakpastian yang menekan jiwa.

Tuesday, 28 July 2026

Bayang-bayang di Bawah Lampu Neon (Episod Akhir)

 Sinar yang Ditemui

Hari-hari selepas itu bukanlah mudah. Aris mula menjalani rutin baharu. Dia menghantar Dinda ke sekolah, membantu Sofia di rumah, dan pada masa yang sama mencari arah untuk memulakan semula hidupnya. Wang simpanan semakin menipis, namun hatinya tidak lagi sesak seperti dahulu. Dia lebih tenang, lebih hadir untuk keluarganya.

Suatu petang, ketika Aris sedang duduk di sebuah kedai kopi kecil berhampiran kawasan perumahannya, dia membawa bersama komputer riba lama, cuba menyusun idea untuk perniagaan impiannya. Namun, fikirannya masih berselerak.

“Maaf, kerusi ini kosong?” satu suara lembut menegur.

Aris mengangkat wajah. Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an, berpakaian sederhana tetapi kemas, berdiri sambil tersenyum.

“Ya, silakan,” jawab Aris.

Perbualan mereka bermula dengan perkara biasa. Berkenaan cuaca, keadaan bandar, dan akhirnya beralih kepada kerja. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Rahman, seorang pemilik syarikat perunding kecil yang sedang berkembang.

“Apa yang awak buat sebelum ini?” tanya Rahman.

Aris teragak-agak seketika, sebelum akhirnya menceritakan segalanya. Tentang tekanan kerja, pengurus yang tidak menghargai, dan keputusan beraninya untuk berhenti tanpa pelan yang jelas.

Rahman hanya mengangguk perlahan.

“Berani,” katanya ringkas. “Tak semua orang sanggup buat begitu. Tapi saya nampak sesuatu pada awak—kejujuran.”

Aris terdiam.

“Saya perlukan orang seperti itu dalam syarikat saya. Bukan sekadar pandai buat kerja, tapi ada prinsip. Kalau awak tak keberatan, datanglah ke pejabat saya minggu depan. Kita bincang lebih lanjut.”

Aris hampir tidak percaya. Peluang itu datang tanpa diduga, seolah-olah semesta sedang membalas keberaniannya.


Beberapa tahun berlalu.

Aris kini bukan lagi lelaki yang dahulu duduk lesu di bawah lampu neon pejabat. Dia bekerja di syarikat Rahman, bermula dari bawah dan mempelajari semula banyak perkara, membina keyakinan, dan yang paling penting, bekerja dalam suasana yang menghargai manusia, bukan sekadar hasil.

Rahman bukan sekadar majikan. Dia menjadi mentor, mengajar Aris bahawa kejayaan sebenar bukanlah tentang siapa paling cepat naik, tetapi siapa yang kekal dengan nilai dirinya.

Kejujuran Aris, kesungguhannya, dan cara dia melayan rakan sekerja akhirnya membuahkan hasil. Dia dinaikkan pangkat menjadi pengurus projek. Gajinya bertambah, hidupnya lebih stabil, dan yang paling penting dia tidak lagi kehilangan dirinya dalam proses itu.

Di rumah, kehidupan mereka juga berubah. Dinda semakin membesar, kini aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah. Sofia pula membuka perniagaan kecil-kecilan dari rumah, dengan sokongan penuh Aris.

Suatu malam, ketika mereka bertiga duduk bersama di ruang tamu, Dinda menunjukkan sijil penghargaan yang baru diterimanya.

“Ayah, Dinda dapat tempat pertama!” katanya penuh bangga.

Aris tersenyum, matanya berkaca. “Tahniah, sayang. Ayah bangga dengan Dinda.”

Sofia memandang Aris dengan senyuman yang penuh makna. Dia tahu, lelaki di hadapannya bukan lagi bayang-bayang yang pernah hilang arah dahulu. Dia kini seorang ayah, suami, dan manusia yang benar-benar hadir.


Kadang-kadang, Aris masih teringat malam terakhirnya di pejabat lama. Lampu neon yang suram, bunyi detak jam yang menyesakkan, dan perasaan seolah-olah dirinya hanyalah satu alat.

Namun kini, setiap pagi yang dia bangun, dia tahu satu perkara:

Dia tidak lagi hidup untuk memenuhi sistem.

Dia hidup untuk dirinya, untuk keluarganya, dan untuk nilai yang dia pegang.

Dan itulah kebebasan sebenar.

Tamat.


Episod 1

Episod 2

Wednesday, 15 July 2026

Bayang-bayang di Bawah Lampu Neon (Episod 2)

Motosikal kapcai Aris membelah kesunyian malam Kuala Lumpur. Di bawah limpahan cahaya lampu neon yang berwarna-warni, dia tidak lagi merasa kerdil. Angin malam yang menerpa wajahnya terasa seperti basuhan air sejuk yang mengejutkannya daripada mimpi ngeri yang panjang. Buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, dadanya tidak terasa sempit. Dia tidak memikirkan tentang baris-baris data tegar atau rupa paras Encik Hendra yang bakal menyinga esok pagi.

Fikirannya hanya tertumpu pada satu arah: rumah.

Aris tiba di pekarangan rumah flatnya tepat jam 12:15 tengah malam. Keadaan rumah sunyi sepi, menandakan isteri dan anaknya sudah lama diulik mimpi. Dia melangkah masuk dengan berhati-hati, bimbang sekiranya bunyi pintu akan mengejutkan mereka.

Di dalam bilik tidur Dinda, cahaya lampu tidur yang samar-samar menerangi sekeping kertas lukisan di atas meja belajar anaknya. Aris menghampiri meja tersebut. Di atas kertas itu, Dinda melukis gambar tiga orang yang sedang berpegangan tangan—seorang lelaki, seorang wanita, dan seorang budak perempuan kecil. Di bawah lukisan itu tertulis kemas dengan krayon merah:

"Esok hari penting Dinda. Ayah janji nak tengok Dinda menyanyi di pentas. Dinda sayang Ayah."

Setitik air mata Aris tumpah ke atas kertas lukisan itu. Dia mengusap lembut kepala Dinda yang sedang lena. "Ayah minta maaf, sayang. Kali ini, Ayah takkan kecewakan Dinda lagi," bisiknya perlahan, penuh tekad.

Pagi yang Berbeza

Keesokan paginya, telefon bimbit Aris bergegar tanpa henti seawal jam 7:30 pagi. Nama "Encik Hendra" berkelip-kelip di skrin. Aris yang sedang membantu isterinya menyediakan sarapan hanya memandang sepi telefon tersebut. Dia menekan butang senyap, lalu memasukkan telefon itu ke dalam poket seluarnya.

"Abang... tak bersiap ke pejabat?" tanya Sofia, isterinya, dengan nada bimbang. Dia tahu hari ini hari Jumaat, hari pembentangan laporan besar suaminya.

Aris tersenyum—senyuman pertama yang paling ikhlas yang pernah dilihat Sofia sejak setahun lalu. "Abang cuti hari ni. Kita nak pergi tengok persembahan Dinda, kan?"

Mata Sofia bulat tidak percaya, sebelum perlahan-lahan mengukir senyuman lebar yang sarat dengan rasa syukur.

Pukul 9:00 pagi, Aris, Sofia, dan Dinda sudah berada di dewan sekolah. Apabila nama Dinda dipanggil untuk naik ke pentas bagi persembahan koor, anak kecil itu melilau mencari-cari di celah barisan penonton. Sebaik sahaja matanya tertancap pada susuk tubuh Aris yang sedang melambai sambil tersenyum bangga, wajah Dinda berubah ceria. Dia menyanyi dengan penuh semangat, sesekali melambai ke arah ayahnya.

Di saat itulah, telefon di dalam poket Aris bergegar lagi. Kali ini, satu pesanan ringkas masuk.

Hendra: Aris! Kamu di mana?! Mesyuarat dah nak mula 15 minit lagi! Laporan analisis pasaran mana?! Kamu nak kena buang kerja ke?! Jawab sekarang!

Aris menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak membalas dengan alasan atau permohonan maaf yang sering dia lakukan dahulu. Sebaliknya, dia membuka draf e-mel di telefonnya yang sudah lama dia simpan—surat peletakan jawatan 24 jam. Dengan sekali petikan jari, surat itu dihantar terus ke bahagian Sumber Manusia (HR) dan disalinkan kepada Encik Hendra.

Dia memasukkan kembali telefon ke dalam poket. Dia tidak mahu lagi menjadi bayang-bayang di bawah lampu neon yang kusam.

Sinar Baharu

Selepas tamat persembahan, Dinda berlari kencang mendapatkan Aris lalu memeluk erat pinggang ayahnya. "Ayah! Ayah tengok tak Dinda menyanyi tadi? Dinda buat yang terbaik untuk Ayah!"

Aris melutut, menyamai paras anaknya, lalu mengucup dahi Dinda. "Ayah tengok, sayang. Dinda anak Ayah yang paling hebat."

"Abang... betul ke keputusan ni?" tanya Sofia lembut, merujuk kepada tindakan Aris yang kelihatan sangat tenang melepaskan pekerjaannya.

Aris berdiri, memandang isteri dan anaknya. Ya, dia mungkin tidak mempunyai pekerjaan bermula Isnin ini. Dia mungkin perlu bermula dari bawah untuk membina perniagaan impiannya yang tergendala. Namun, melihat senyuman Dinda dan ketenangan di wajah Sofia, Aris tahu dia telah membuat keputusan yang paling betul dalam hidupnya.

"Betul, Sofia. Duit boleh dicari, tetapi masa dengan keluarga dan maruah diri... sekali ia hilang, takkan boleh dibeli semula."

Di bawah sinaran matahari pagi yang hangat, Aris memimpin tangan isteri dan anaknya berjalan menuju ke tempat letak kereta. Kali ini, dia berjalan dengan dada yang lapang dan langkah yang tegap. Dia bukan lagi robot yang dikawal oleh sistem; dia kini seorang manusia merdeka yang memegang kemudi takdirnya sendiri.


Episod 1



Monday, 6 July 2026

Bayang-bayang di Bawah Lampu Neon

 Jam menunjukkan pukul 11:45 malam. Bunyi detak jam di pejabat yang sunyi itu kedengaran seperti tukul yang menghantam kepala Aris. Di hadapannya, skrin komputer masih menyala terang, memaparkan timbunan data yang tidak berpenghujung.

Aris memicit pangkal hidungnya yang terasa perit. Sudah tiga hari dia tidak pulang sebelum melepasi tengah malam. Pengurusnya, Encik Hendra, baru sahaja menghantar pesanan ringkas setengah jam lalu: "Siapkan laporan analisis pasaran ini sekarang. Esok pagi masa mesyuarat, saya tidak mahu ada sebarang kesilapan."

Tiada kata "tolong". Tiada kata "terima kasih". Hanya perintah yang tergantung di udara, seolah-olah nyawa Aris hanyalah sebahagian daripada inventori pejabat yang boleh diperah bila-bila masa sahaja.

Aris teringat janji yang dia buat kepada anak perempuannya, Dinda, minggu lalu. "Ayah akan datang ke persembahan sekolah adik Jumaat ini," ucapnya ketika itu. Jumaat ini adalah hari ini. Namun, di sini dia berada, terperangkap di dalam kubikel sempit, sementara di dalam dompetnya terselit tiket acara sekolah yang mula berdebu.

Dia menatap gambar di atas mejanya—gambar Dinda yang tersenyum memegang piala kecil. Hatinya luluh. Dia berasa seperti robot yang kehilangan bateri, dipaksa terus bergerak hanya kerana ada sistem yang menuntutnya untuk tidak berhenti.

Tiba-tiba, pintu kaca bilik terbuka. Encik Hendra melintas sambil menjinjit beg kerja mahalnya, hendak pulang selepas seharian melakukan "pertemuan penting" di luar. Dia melirik Aris sekilas, tanpa senyuman, tanpa teguran.

"Jangan lupa kopi di pantri sudah habis, isi semula sebelum kamu balik," ujar Encik Hendra dingin sebelum menghilangkan diri di sebalik pintu lif.

Aris terdiam. Tangannya menggigil di atas papan kekunci. Dia merupakan graduan cemerlang di universiti, seseorang yang mempunyai impian untuk membina perniagaan sendiri. Namun, bertahun-tahun di sini, impian itu perlahan-lahan pudar, tertutup oleh debu laporan dan ego para atasan yang tidak pernah melihatnya sebagai seorang manusia.

Dia menarik nafas panjang. Dia mengambil cawan kosong di mejanya, berjalan lemah menuju ke pantri. Di depan cermin singki, dia menatap bayangannya sendiri. Wajah yang lelah, mata yang cengkung, dan bahu yang melorot.

"Ini bukan tentang kerja," bisiknya kepada bayangannya sendiri. "Ini tentang harga diri yang perlahan-lahan terhakis."

Aris mengisi semula air di dalam teko kopi. Apabila kembali ke meja, dia melihat skrin komputernya. Dia menekan butang save, menutup dokumen itu, lalu secara perlahan-lahan, dia mematikan komputernya.

Untuk kali pertama dalam tiga tahun, Aris tidak menyiapkan tugasnya. Dia mengambil begnya, mematikan lampu meja, lalu berjalan keluar. Dia tidak peduli lagi dengan ancaman buang kerja atau kemarahan Encik Hendra pada pagi esok.

Di luar bangunan, udara malam terasa dingin, tetapi bagi Aris, itu adalah udara kebebasan. Dia menghidupkan enjin motosikalnya, meninggalkan bangunan tinggi yang selama ini menjadi penjaranya. Pagi esok, mungkin dia akan kehilangan pekerjaannya. Namun malam ini, dia menyedari satu perkara: dia baru sahaja mendapatkan kembali dirinya yang hampir hilang.

Bicara hati

 Kadang-kadang, apa yang kita lakukan tidak semestinya terlihat di mata orang lain. Ada kerja yang kita selesaikan dalam diam, ada tanggungj...