Malam itu, ruang tamu sunyi. Di meja makan, Papa Ejulz tekun menghadap komputer riba. Timbunan fail kerja menanti untuk disiapkan sebelum pagi.
"Papa... jomlah tengok TV. Cerita kartun kegemaran kita dah
mula," panggil Fayyadh sambil menarik-narik hujung baju papanya. Wajahnya
penuh harapan, manja seperti selalu.
"Kejap lagi, Fayyadh. Papa sibuk ni," jawab Ejulz tanpa
menoleh.
Lima minit kemudian, Fayyadh datang lagi. Kali ini dia memeluk lengan
papanya. "Alah Papa, sekejap je. Jomlah..."
"Fayyadh! Papa cakap Papa sibuk, faham tak?! Jangan kacau boleh
tak?!"
Suara Ejulz meninggi sedikit. Papa menoleh dan terkedu melihat Fayyadh.
Bibir kecil anak itu terketar-ketar. Matanya yang bulat mula berkaca. Tanpa
sebarang kata, Fayyadh melepaskan lengan papanya, berpaling, dan terus berjalan
perlahan masuk ke bilik tidur. Pintu ditutup rapat.
Ejulz mengeluh, meraup wajahnya. Rasa bersalah mula menjalar, namun
desakan tugasan memaksa dia menyambung kerja sehingga lewat malam.
Keesokan Harinya...
Pagi-pagi lagi Ejulz sudah bergegas keluar ke pejabat demi mengejar
masa menyiapkan baki tugasannya. Suasana rumah yang sepi sebelum dia bertolak
keluar tidak begitu dihiraukannya kerana menyangka Fayyadh mungkin masih tidur
nyenyak.
Jam menunjukkan pukul 10:30 pagi. Sedang Ejulz tekun meneliti dokumen
di meja pejabatnya, telefon bimbitnya tiba-tiba bergetar. Nama "My
Wife" tertera di skrin.
"Helo, abang..." suara Zila di talian kedengaran bimbang.
"Ya, sayang. Ada apa?" tanya Ejulz.
"Fayyadh demam ni, bang. Badan dia dedar sangat dari subuh tadi.
Sejak bangun, dia asyik diam je, tak seceria selalu. Bila saya tanya nak makan
apa, dia cuma geleng kepala. Abang ada buat apa-apa ke semalam?" tanya
Zila perlahan.
Pertanyaan isterinya itu bagai satu tamparan hebat tepat ke dada Ejulz.
Pen yang dipegangnya terlepas ke meja. Bayangan wajah Fayyadh yang terkedu dan
matanya yang berkaca malam tadi terus menerpa ruang fikiran.
"Ya Allah... Fayyadh demam," bisik Ejulz, suaranya tiba-tiba
tersekat di kerongkong. Rasa bersalah yang amat sangat mula menggunung di dalam
hati. Walaupun hatinya meronta-ronta mahu pulang, komitmen kerja yang kritikal
memaksa dia bertahan di pejabat.
"Sayang... tolong bawa dia ke klinik dulu ya. Bagi dia ubat.
Semalam... abang ada tertinggikan suara dekat dia. Abang balik on time
hari ni. Habis je waktu kerja, abang terus pecut balik." Ejulz tidak dapat
balik membawa Fayyadh ke klinik kerana faktor jarak pejabat nya yang jauh.
Kepulangan Yang Dinanti
Sebaik sahaja jam waktu bekerja tamat, Ejulz terus mengemas barangannya
tanpa bertangguh seminit pun. Dia memandu pulang dengan hati yang sarat dengan
kerisauan. Fikirannya langsung tidak tenang memikirkan anak manjanya itu.
Setibanya di rumah, Ejulz terus melangkah laju ke bilik tidur.
Kelihatan Fayyadh sedang berbaring lemah berbantalkan lengan Zila.
Ejulz duduk di birai katil lalu menyentuh dahi Fayyadh yang masih
hangat. Fayyadh membuka matanya yang layu, memandang papanya tanpa senyuman
manjanya yang biasa.
"Fayyadh... maafkan Papa pasal semalam ya? Papa tak sengaja
tinggikan suara," bisik Ejulz, air mata penyesalan mula bergenang di
kelopak matanya.
Fayyadh menghulurkan tangan kecilnya, memegang jari papanya lemah.
"Fayyadh tak marah Papa... Fayyadh cuma rindu nak tengok TV dengan
Papa."
Jawapan ringkas itu bagai rentapan kuat di dada Ejulz. Diakapnya tubuh
kecil yang panas itu dengan erat, sambil matanya bertembung dengan pandangan
sayu Zila. Ejulz memandang isterinya sekilas, memberi isyarat maaf sebelum
berjanji di dalam hati, walau sepadat mana pun urusan pejabat selepas ini,
tiada tugasan yang lebih penting daripada menjaga sekeping hati miliknya yang
paling berharga.
No comments:
Post a Comment