Monday, 22 November 2010

HanTu kum kum keMbali..

HANTU KUM-KUM Merayau-raYau meNcari peMbuNuh baYinYa..




Suasana di Kampung Paya petang itu tiba-tiba saja gempar sebaik tersebar berita seorang wanita berpurdah mengendong bayi baru lahir berkeliaran di waktu malam, mengetuk pintu rumah penduduk di daerah Hilir Perak.

Paling menyeramkan, wanita berpurdah itu kononnya datang meminta susu untuk diberikan pada bayi yang dikendongnya. Cerita seram ini amat menakutkan penduduk dan menjadi topik hangat yang dibualkan di mana-mana saja.

Beberapa orang penduduk kampung mengesahkan pernah terserampak dengan wanita berpurdah berkenaan. Menurut cerita penduduk lagi, wanita berpurdah yang mengendong bayinya itu dipercayai mati dibunuh sewaktu mengandungkan anak sulungnya.

Kononnya, wanita hamil yang ditinggalkan suami ini amat sayang pada bayi yang dikandungnya. Sewaktu ajalnya tiba, wanita malang itu bersumpah untuk membalas dendam dan mencari pembunuh yang bertanggungjawab dalam tragedi berdarah itu.

Penduduk Kampung Paya percaya wanita berpurdah yang mati dibunuh bersama bayi dalam kandungan itulah yang menjelma sebagai hantu kum-kum, sempena salam yang diberinya berbunyi:

“Assalamualaikum... kum.. kum.. “

Semenjak berita hantu kum-kum tersebar luas di serata ceruk, penduduk kampung tidak berani lagi keluar malam. Selepas Maghrib, semua penduduk bertekad mengunci rumah.

Anak-anak kecil pun tidak lagi kelihatan berkeliaran bermain zero point ataupun galah panjang. Masjid dan surau juga semakin lengang. Kedai-kedai kopi dan runcit beroperasi setakat Maghrib.

Pak cik dan mak cik pula lebih suka berkurung di rumah bersama keluarga. Isteri-isteri tidak membenarkan suami menghabiskan masa melepak bermain dam aji atau menonton wrestling di warung Pak Hasan di hujung kampung. Pendek kata serba-serbinya bertukar. Kampung Paya tak ubah seperti baru dilanggar garuda.

Tapi di warung Pak Hasan, cerita hantu kum-kum dianggap dongeng dan karut-marut belaka. Antaranya dua pemuda hanya mahu dikenali sebagai Mail dan Usin yang mencemuh orang yang menyebar berita karut itu.

“Ah, korang ni cepat sangat percaya dengan cerita-cerita merepek ni! Mana ada hantu? Korang pernah dengar ke ada orang yang mati kena cekik dengan hantu?” soal Mail sambil menghisap rokok di warung Pak Hasan. Rakan baiknya, Usin mengangguk.

“Aku kalau jumpa hantu kum-kum ni, bukan setakat aku kasi susu, tapi aku jemput naik ke rumah hidangkan nasi sekali. Ha! Ha! Haa!” sampuk Usin dengan takbur menyokong kata-kata Mail sebentar tadi.

Semua yang ada di situ sekadar mendiamkan diri. Hendak dibangkang kata-kata Mail dan Usin terasa serba salah sebab dua pemuda ini suka cakap besar.

Biarlah Mail dan Usin dengan gebang mereka. Lagipun siapa di Kampung Paya yang tak kenal dengan Mail dan Usin, spesies kacang hantu yang tak makan saman!

Semua yang ada di warung itu sekadar terkebil-kebi menelan air liru tapi dalam hati mereka berdoa agar suatu hari nanti biarlah Mail dan Usin disakat dan dicekik-cekik hantu kum-kum tersebut. Sebab sudah ramai penduduk yang pernah terserempak dengan hantu kum-kum.

“Kau jangan cakap besar Usin. Malam kelmarin rumah Pak Leman tukang dah kena. Masa tu Pak Leman baru balik dari menembak musang. Lepas mandi dia dengar suara orang bagi salam.

“Assalamualaikum... kum... kum..! Pak Leman pun terus intai kat tingkap, Nampak pompuan tu pakai purdah hitam tengah pangku atu nisan kat tangga rumahnya. Apa lagi berlari Pak Leman masuk bilik terus selubung selimut sampai pagi!” sampuk Pak Halim sambil merapatkan punggungnya di sisi Seman Panau.

“Betul tu Usin... minggu lepas hantu tu dating rumah Wak Kasman. Masa tu dah pukul 1.00 pagi. Masa tu Wak Kasman bangun nak buang air besar.

“Masa tengah capai tuala tu dia dengar orang bagi salam.. Assalamualaikum... kum... kum.. Wak Kasman terus intai kat celah dinding Nampak pompuan pakai purdah tunduk renung tanah. Wak Kasman tanya siapa... bila pompuan tu angkat muka je terus Wak Kasman terbuang air besar kat situ...

“Kata Wak Kasman muka pompuan tu penuh dengan ulat. Matanya merah tersebul. Giginya bertaring panjang..” sambung Jeman, bekas ketua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kampung Paya.

“Ahh! Aku tak percayalah! Karut semua tu! Karuttt!” kata Mail dengan gaya angkuhnya.

Kalau korang berdua tak percaya tak apalah. Nanti kalau kna jangan sampai terkencing dalam seluar sudahlah!” sampuk Pak Hasan pemilik warung tersengih.

Semua yang ada di situ ketawa terkekeh-kekeh geli hati. Mail dan Usin sekadar melihat gelagat mereka dengan perasaan menyinga.

Ketika sedang rancak berborak sakan dan gelak ketawa tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara wanita mengilai dari arah hujung kampong. Waktu itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Tidak semena-mena semua yang berada di warung bertempiaran. Ada yang lari menapai basikal. Ada menghidupkan enjin motosikal meninggalkan warung Pak Hasan.

Mail dan Usin berpeluh. Lidah mereka kelu. Bunyi wanita mengilai makin lama semakin kuat seolah-olah menghampiri mereka.

“Aku rasa macam tak sedap hatilah.. jom kita gerak sekarang,” bisik Usin lagi.

“Eh, aku nak tutup kedai dululah... kalau korang nak lepak sini aku tak padamkan lampu!” balas Pak Hasan.

“Errrr... tak apalah Pak Hasan, kita orang pun nak balik juga ni,” jawab Mail dengan suara yang terketar-ketar.

“Hah, elok sangatlah tu. Eh, mana pulak perginya si Latip Gagap ni? Aku dan nak tutup kedai ni!” tanya Pak Hasan mencari pembantu kedainya.

“Sin, malam ini aku tidur rumah kau ye!” bisik Mail pada Usin. “Okey jugak tu, aku pun seram juga ni setelah menghidupkan enjin motor, Usin memecut laju membelah malam menuju ke rumahnya.

Semasa dalam perjalanan pulang mereka hanya diam membatu. Hati kecil mereka berbisik terasa menyesal kerana bercakap besar sebentar tadi.

Apa lagi, sebaik tiba di rumah Usin, kelam-kabut mereka berdua berlari melangkau anak tangga naik dan menutup pintu.

“Fuhhh... kau rasa suara pompuan mana yang mengilai panjang tadi tu Sin? Tanya Mail tercungap-cungap.

“Entahlah... tapi ini pertama kali aku dengar. Eram juga ni!” jawab Usin dengan muka separuh pucat.

“Errr. Entah-entah itu suara hant...” tapi belum sempat Mail menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba mereka tersentak apabila terdengar suara member salam di luar rumah. Mereka memasang telinga! Degupan jantung semakin kencang.

“Assalamualaikum.. kum... kum...” Mail dan Usin berpandangan sambil mengelap peluh di dahi mereka.

“Assalamualaikum... kum... kum... Assalamualaikum... kum... kum... !” sahut suara dari bawah berulang-ulang kali.

Bagai luruh jantung mereka berdua apabila mendngar suara tersebut tak putus-putus member salam. Usin memejamkan mata sambil memeluk erat tiang seri rumahnya. Mail yang sudah dibasahi peluh bersembunyi di bawah tikar mengkuang sambil tak henti-henti membaca ayat Kursi walaupun tunggang langgang.

Tiba-tiba pintu rumah mereka dihentak semakin kuat... Dammmm! Dammmm!

“Assalamualaikum... kum... kum...! Assalamualaikum... kum... kum...” Mail dan Usin terus mematikan diri. Masing-masing pucat berpeluh jantan.

Tiba-tiba pintu rumah mereka dikuar dari luar...

Kreeeekkkkkk!

“Hantuuuuu..! Hantuuuuu!” jerit Mail dan Usin serentak.

Tiba-tiba lembaga yang menguak pintu itu tersembul dan bersuara nyaring...“Akulah... Latip.. Aku datang... datang... nak kasi.. nak kasi... beg duit korang yang tertinggal... terrtinggal... kat ke.. kedai tadi.. tadi.. Aku bagi salam.. salam.. banyak kali... Assalamualaikum.. kum... kum.. Assalamualaikum.. kum... kum... sorang pun.. pun.. tak bukak pintu... pintu...

“A.. Aku tengok motor.. motor.. ada kat luar.. luar! Jadi aku.. aku.. masuklah... lah.. Yang.. yang... korang... korang... berdua ni menjerit.. menjerit... kenapa.. kenapa?”

Ceh! Rupa-rupanya yang beri salam tadi si Latip Gagap pembantu warung Pak Hasan, pembantu warung Pak Hasan. Mati-mati Mail dan Usin ingatkan hantu kum-kum datang hendak mencekik mereka berdua!
Hu! Hu! Sampai sekarang, Mail dan Usin tidak berani lagi cakap besar!



MORAL: JANGAN CAKAP BESAR!!!! HAHA!!!



Artikel ini diperolehi dari MASTIKA.. Belilah MASTIKA untuk mendapat lebih banyak kisah2 “Misteri”.. huhu. Jangan lupa saksikan cerita seram KUM KUM  di astro ria.. :)

1 comment:

  1. Scary... best lagi tengok hantu kak limah...😂😂😂

    ReplyDelete

GIVEAWAY 13TH ANNIVERSARRY

    Assalamualaikum..   Di kesempatan ini ejulz ingin mengucapkan Happy Anniversary yang ke-13 kepada Puan Linda dan suami yang bakal disamb...