Saturday 9 June 2018

Pengorbanan seorang lelaki

"Ayah, adik nak kasut Spiderman yang ada lampu untuk raya tau."

"Kakak nak gaun yang ada ropol-ropol tu. Yang kita tengok kat pasaraya minggu lepas."

Si ayah tersenyum lantas mengangguk-angguk kepala. Tidak sanggup dia untuk berkata tidak pada anak-anaknya yang dikasihi sepenuh hati.

Lagi pun anak-anaknya tahun ini puasa penuh. Padahal baru sahaja menjejak kaki ke Tadika dan Sekolah Rendah.

Isterinya memandang dari jauh. Melihat suaminya melayan karenah anak-anak yang tak sabar hendak beraya. Hendak pakaian baru sama seperti kawan-kawan mereka.

Anak sekecil itu tidak faham. Gaji ayah mereka tidaklah besar mana. Lagi pun, bulan ini tuan rumah berkeras supaya tunggakan sewa bulan lepas dilangsaikan sekali gus. Sudah minta bayar ansuran, namun tidak diendahkan.

Barangkali tuan rumah nak beraya sakan. Mereka tak nak fikir masalah orang. Janji payment masuk setiap bulan seperti perjanjian.

Sewa bulan lepas tertunggak bila tayar kereta kena tukar baru. Kena pula sambung road tax yang dah mati. Ingatkan tuan rumah boleh bertolak ansur bayar secara ansuran. Rupanya tidak.

Nak kata apa? Itu rumah dia. Turut sajalah.

Maka bajet untuk raya lari jauh. Si isteri faham sangat, namun budak-budak apa mereka tahu? Mereka hanya tahu raya hari bergembira. Dapat pakai baju baru, seluar baru, kasut baru.

Itu sahaja. Sedang si ayah bertungkus lumus bekerja. Kerja sampingan pun buat juga demi anak isteri tercinta.

"Bang, baju raya saya tak perlulah tahun ni. Baju tahun-tahun sudah elok lagi. Saya tak kisah pun."

Kata si isteri di suatu malam. Dia diam sambil tersenyum sahaja. Isterinya sangat memahami. Tidak meminta-minta dan tahu kemampuan kewangannya.

Namun disudut hati yang paling dalam, dia rasa sedih sangat. Dia ketua keluarga. Tidak dapat menyediakan persiapan sepatutnya kepada anak isteri mencalar egonya. Sangat meruntun jiwanya.

Dua hari sebelum raya, si ayah pulang bawa kasut ada lampu buat adik. Buat kakak, gaun beropol-ropol macam Cinderella. Anggun sekali.

Anak-anak bersorak riang. Isteri memandang dengan senyuman walau hati masih bertanya di mana suaminya cari duit beli semua itu.

"Awak. Sini kejap."

"Apa bang?"

"Nah. Cuba dua pasang baju raya ni."

Si isteri terpaku. Walau mulut kata tak mahu, namun disudut hati dia juga hendak merasa pakai baju baru di hari raya nanti.

"Abang! Mana abang dapat duit. Terima kasih banyak. Cantiknya!"

"Ada rezeki lebih abang bantu kawan pindah rumah. Dia bagi upah. Cubalah."

Si suami tersenyum puas melihat anak isterinya gembira. Baginya, itulah bahagia. Tidak ternilai harganya.

Dia sanggup korbankan apa saja untuk kebahagiaan keluarganya. Apa sahaja.

"Baju raya abang mana?" soal si isteri.

"Esok abang beli. Pergi tadi saiz tak ada," bohong suami disebalik senyuman.

Sedangkan memang tak ada bahagian dah untuk dia. Tak apalah dia pakai baju lama pun. Asalkan dapat melihat anak isteri tersenyum ria.

"Eh abang. Mana cincin dan jam kesayangan abang?"

Si suami tidak menjawab. Dia buat-buat tidak dengar dan terus pergi ke arah anaknya sambil melayan anak-anak itu mencuba pakaian baru.

"Abang!"

Dan air mata menitis laju dipipi sang isteri. Walau langit tidak mendung, namun ada hujan mencurah-curah diwajah.

*******

Sebenarnya, banyak pengorbanan seorang lelaki bergelar suami dan ayah pada keluarga mereka.

Tidak banyak yang tertulis, tidak banyak yang terlukis. Kerana lelaki menelan semua air mata, menyorok segala kegusaran disebalik sebuah senyuman.

Demi melihat gelak tawa dan kegembiraan ahli keluarganya.

Hormati suamimu, taati ayahmu begitu juga isterimu yang taat dan setia serta ibumu semuanya sukar dicari ganti. Jasa mereka tidak terbalas.. Allahu Akbar.. Percayalah!

9 comments:

  1. mungkin ukur baju di badan sendiri? Kadang orang kita terlampau kejarkan perkahwinan dan bialngan anak tapi tak ukur pada kemampuan kewangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul3.. yg paling sedih bila dgr ada yg kawin mak bapak yang tanggung..

      Delete
  2. Kisah yang masih membelenggu ramai keluarga di luar sana.
    Bersyukur dan bersedekahlah bagi yang Allah uji dengan kemewahan.

    ReplyDelete
  3. Pepagi da hujan ...walaupun cuaca kat luar sana elok terangnya. Betul tu, ramai org buat buat tak endah malah menafikan pengorbanan seorang ayah.. semoga ayah sentiasa dlm lindungan allah taala. Selamat riraya bro

    ReplyDelete
  4. Sedihnya..tak sangka dia sanggup jual barang yang disayangi..nangis..

    ReplyDelete
  5. masih ramai yg tak bernasib baik..kita jgn fikir diri sendir je kan

    ReplyDelete

Cepatnya Masa Berlalu

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat2 blogger ejulz... Harap semuanya dalam keadaan sihat.. Tak berasa hampir 4 bulan tak update...